>> 5 Terkini :

Tuesday 9 September 2014

Nasib andalah PR, masa Hadi beri idea anda tak nak ikut......

Apabila langkah Hadi 17 Ogos tidak dihargai

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
PADA 17 Ogos 2014 yang lalu, Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuka laluan untuk menamatkan kemelut kerusi Menteri Besar Selangor dengan bersetuju:

1. Mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (untuk menjaga hati PKR)

2. Turut mencalonkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (untuk menjaga hati istana)

3. Tidak menamakan sebarang nama calon Adun Pas

4. Secara sahnya, Pas menarik balik sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Keputusan Pas dan Hadi pada hari itu sebenarnya adalah peluang terbaik untuk Pakatan Rakyat menamatkan kemelut Menteri Besar Selangor.

Di Hotel Empire pada sebelah petang itu, Pakatan Rakyat mengeluarkan satu kenyataan yang berbunyi:

“Kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 17 Ogos 2014

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menghargai keputusan Pas untuk kekal dalam Pakatan Rakyat dan keperluan menggantikan YAB Menteri Besar Selangor.

Majlis Pimpinan juga mengambil maklum dan menghargai pencalonan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan YB Mohamed Azmin Ali untuk jawatan Menteri Besar.

Bagaimanapun YB Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa beliau kekal menyokong keputusan parti KeADILan untuk menamakan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon YAB Menteri Besar baru Selangor.

Maka dengan ini Pakatan Rakyat akan meneruskan proses untuk menyembahkan keputusan ini kepada ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor.“

Jika kita perhalusi semula kenyataan Pakatan Rakyat pada 17hb Ogos di atas - ia menyatakan bahawa ia akan meneruskan proses untuk menyembahkan keputusan "ini" ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Persoalannya ialah keputusan "ini" merujuk kepada apa?

Tidak lain, tidak bukan, ialah dua keputusan di bawah:

1. Menghormati keputusan Pas mencalonkan dua nama iaitu Wan Azizah dan Azmin

2. Menghormati keputusan Azmin akur dengan keputusan PKR untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

Ini bermakna Pakatan Rakyat akan memaklumkan kepada istana Selangor bahawa ada dua pencalonan untuk jawatan Menteri Besar Selangor, dan salah satu daripada calon itu, iaitu Azmin, berkata beliau tetap akur dengan keputusan parti untuk mencalonkan Wan Azizah.

Tidak pernah timbul bahawa Pas telah bertukar keputusan untuk bersetuju mencalonkan Wan Azizah sahaja tidak benar.

Namun begitu, apa yang terjadi selepas itu agak menyayatkan hati. Media dan para pemimpin Pakatan Rakyat terus menggambarkan seolah-olah Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk menghantar satu nama sahaja ke istana Selangor walhal kenyataan tersebut tidak bermaksud demikian.

Hasrat Pas untuk menjaga hati sahabat dan pihak istana tidak menjadi. Ini disusuli pula desakan PKR kepada Pas untuk 13 Adunnya yang lain menanda-tangani surat akuan bersumpah untuk menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor meskipun sudah mendapat dua Adun Pas yang sanggup berbuat demikian.

Tolak ansur yang diberikan Hadi pada 17hb Ogos seperti dilupakan.

Tindakan PKR ini seolah-olah bukan sahaja mereka hendakkan Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor yang baru malah mereka hendak menutup rapi peluang Azmin untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan juga tidak mahu memberikan sebarang pilihan untuk istana.

Itu menimbulkan reaksi dalaman di dalam Pas dan istana.

Ekoran itu, istana meminta lebih daripada dua nama calon dihantar daripada PKR, Pas dan DAP untuk memudahkan Sultan Selangor memilih.

Rentetan segala serangan pada Pas dan Hadi pula mengakibatkan campurtangan Majlis Shura Pas untuk menghantar tiga nama calon (dua PKR dan satu Pas) untuk pertimbangan istana Selangor.

Mereka, terutama golongan kecil yang memulakan krisis ini, yang suka mengambil jalan mudah untuk menyalahkan Pas dan Hadi perlu ingat pada laluan penyelesaian yang ditawar Pas pada 17hb Ogos yang lalu.

Krisis MB Selangor tidak dimulakan oleh Pas, dan tidak diburukkan lagi oleh Pas.

Pas adalah antara mangsa sebagaimana PKR dan DAP disebabkan sekumpulan manusia yang tidak erti berkompromi untuk tidak berganjak untuk menghantar seorang sahaja nama calon sebagai MB Selangor.

Dan mangsa terbesar kemelut ini ialah nyawa politik Pakatan Rakyat dan rakyat Selangor.

No comments:

Popular Posts