>> 5 Terkini :

Saturday 20 September 2014

MB Selangor - Akhirnya ANWAR setuju AZMIN...!!!

Dari kiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid serta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azwan Ali. Azmin dipercayai akan dilantik sebagai menteri besar Selangor pada 23 September kelak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 September, 2014.
Dari kiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid serta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azwan Ali. Azmin dipercayai akan dilantik sebagai menteri besar Selangor pada 23 September kelak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 September, 2014.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dipercayai akan dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baru selepas kata sepakat dicapai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber memberitahu, Anwar menelefon Setiausaha Agung PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail agar memasukkan nama Azmin dalam calon menteri besar Selangor yang dikemukakan PKR.

"Anwar menelefon setiausaha agung dari Turki bagi memaklumkan keputusan itu," kata sumber PKR kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan, antara syarat yang dipersetujui antara Anwar dan Azmin adalah berhubung pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) dan juga pegawai di pejabat menteri besar Selangor perlulah mendapat persetujuan bersama.

Sumber PAS pula berkata, besar kemungkinan Azmin juga terpilih sebagai menteri besar Selangor kerana sukar bagi calon parti Islam itu mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.

"Azmin akan mendapat sokongan PKR dan DAP. Adun PAS juga saya percaya akan menyokong beliau dalam keadaan sekarang. Lagipun mesyuarat PAS Pusat sudah memutuskan dua calon iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin," kata seorang pemimpin kanan PAS.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, sekiranya calon partinya yang terpilih, kerajaan yang dibentuk tidak akan kekal lama.

Mohamad berkata pelantikan itu tentu tidak akan dipersetujui DAP dan PKR.

Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, PAS juga akan komited mempertahankan kerusi menteri besar itu sebagai milik PKR.

"Jika DAP dan PKR tidak setuju PAS (sebagai menteri besar), Selangor akan jadi kerajaan sementara," kata Mohamad yang ditemui pemberita di Batu Pahat, Johor selepas Muktamar Tahunan PAS ke-60 semalam.

Kenyataan beliau turut disokong Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

"Keputusan dibuat, kerusi itu milik PKR," katanya ketika ditemui wartawan dalam muktamar itu.

Istana Selangor mula menghantar surat jemputan bagi menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar baru Selangor mulai Khamis.

Majlis itu akan diadakan Selasa, 23 September ini di Istana Alam Shah, Klang.

Dewan Diraja Selangor pula dikatakan akan bermesyuarat esok bagi mempersiapkan majlis pelantikan menteri besar yang baru di samping mengesahkan calonnya. – 20 September, 2014.

No comments:

Popular Posts