>> 5 Terkini :

Friday 12 September 2014

Antara SUPERMAN & ULAMAK dalam PAS..!!!

Ulama perlukan Superman
XIFU NASER


NIK Abduh telah menulis bahawa punca ketidakstabilan Pas bermula dengan pengkhianatan dua Adun Pas. Nik Abduh memuji Presiden Pas kerana berjiwa besar. Wacana Nik Abduh adalah berdasarkan logik mencari kambing hitam di dalam Pas, dan letak beban krisis ke atas bahu mereka.

Dua insan begitu hebat sehingga mampu menggugat kestabilan satu parti yang begitu lama ditubuhkan. Presiden yang begitu berjiwa besar pun tidak mampu mengawal kestabilan parti! 'Akta Wala' yang sentiasa dilaungkan oleh ulama juga gagal menghentikan pemberontakan dalaman parti.

Andaiannya ialah Majlis Syura Ulama tak mungkin silap dalam keputusan yang mereka buat terlebih dahulu sebelum mesyuarat Pas Pusat. Apa-apa pun keputusan mesyuarat Pas Pusat nanti, keputusan Majlis Syura Ulama sahaja yang benar dan yang lain dari itu boleh diabaikan.

Gambaran tentang konsep syura dan Islam Untuk Semua yang diberi kepada rakyat Malaysia ialah Kamu Bukan Ulama. Dengar dan Patuh Sahaja! Ulama Pas memang hebat kitab tetapi mungkinkah ulama tidak cukup smart dalam dunia multiculturalisma?

Dunia bukan kitab kuning kerana dunia pelbagai warna! Abu Hurairah tidak mampu menjadi pemimpin negara walaupun Abu Hurairah meriwayatkan hadis jauh lebih banyak daripada Umar al-Khattab!

Seorang mualaf yang telah dijangkiti HIV tanya saya, “Xifu, apa guna saya peluk Islam jika masih tidak sembuh daripada HIV?” Saya jawab, “Jangan salahkan Islam kerana kamu kena HIV. Kamu bermasalah lama sebelum kenal Islam! Sekarang kamu peluk Islam dan kamu mahu Islam menjadi hamba kamu untuk selesaikan semua masalah-masalah kamu buat dulu!”

Punca ketidakstabilan Pas dan pengaruh yang semakin pudar sebenarnya sudah lama terpendam dan tidak adil untuk mengatakan ia bermula dengan dua Adun tersebut. Bila ulama pun mula mengkambinghitamkan parti-parti lain, individu-individu lain dan mempolitikkan isu-isu agama tanpa melihat cermin diri, ini adalah punca kejatuhan.

Bila kritikan dilontarkan kepada Akta Hasutan yang menghukum kebebasan bersuara, jangan lupa bahawa ‘Akta Wala’ menghukum sesiapa, walaupun majoriti, yang tidak taat pada syura ulama itu dosa! Bahkan Akta Wala’ lebih bahaya lagi kerana membawa kepada taksub ulama. Tak hairan kalau kubur ulama pun dijadikan keramat mengambil berkat!

Kita lihat semasa kempen Pilihan Raya Kecil Teluk Intan baru-baru ini, tiba-tiba ulama Pas melaungkan pelaksanaan hudud dan BN melaungkan penjagaan maslahat rakyat pedalaman. Mana yang lebih smart? Imej Islam sebagai hukuman atau sebagai rahmat untuk rakyat?

Kita juga lihat bagaimana ulama-ulama Pas sekejap bercakap tentang Negara Islam dan sekejap tentang Negara Kebajikan. Mana satu? Kalau benar ulama Pas itu smart, mengapa setelah 57 tahun merdeka, tiada pelan serius dari awal lagi untuk melahirkan ulama-ulama dari pelbagai bangsa?

Kalau pelan ini dirancang sejak 70an atau 80an, sudah tentu dewan ulama terdiri daripada ulama Cina, India, Iban dan Kadazan! Ulama Pas patut melihat 50 tahun jauh ke depan dalam negara yang memang bersifat multicultural dari awal lagi.

Adalah mudah bercakap bahawa Islam Untuk Semua tetapi hakikatnya parti Pas bukan sekadar dipimpin oleh satu bangsa sahaja, tetapi tidak nampak pelan untuk melahirkan ulama-ulama daripada bangsa lain. Dari awal lagi, tahaaluf siyaasi Pas-DAP memang jelas tidak sustainable.

Logik yang mudah: pendukung islamisasi tidak se-smart pendukung liberalisasi. Sekarang jelas, rakyat makin hilang keyakinan kepada kredibiliti ulama. Saya takut rakyat hilang keyakinan kepada Islam.

Persoalan yang Nik Abduh gagal bangkitkan dalam wacana FB beliau ialah seperti berikut: Mungkinkah Majlis Syura Ulama Pas tidak cukup kredibiliti minda dan karisma untuk menyatukan bukan sekadar pemimpin-pemimpin Pas dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tetapi juga rakyat Malaysia seluruhnya?

Kredibiliti ulama makin jatuh bila ulama berselindung di belakang kredibiliti Sultan untuk menyelesaikan krisis MB Selangor dan menyatukan Pakatan Rakyat. Siapa sebenarnya yang menghalalkan tahaaluf siyaasi? Sultan atau ulama? Kalau Superman wujud, sudah tentu ulama akan memperalatkan kuasa luar biasanya juga!


* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak

1 comment:

PAS maju said...

jika hadi diminta berundur, bukan bermakna menolak kepimpinan ulamak.

hanya kerana penggantian biasa sebagaimana Saidina Umar rdh mengarahkan Khalid AlWalid letak jawatan.

dlm perjuangan islam, bekerja sebagai tukang sapu jalan2 perjuangan pun adalah jihad besar disisi Allah.

yg penting ikhlas dan redho.

Popular Posts