Satiful Bahri Mamat
  Satiful Bahri Mamat


KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menyifatkan kenyataan Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff supaya Presiden Pas tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti pertengahan tahun ini, sebagai kenyataan yang tidak perlu dilayan.

Katanya, Zulhazmi hanya ahli biasa dalam Pas dan tidak perlu respons pada kenyataanya itu.

“Tidak perlu respon kenyataan dia.. siapa dia.. dia ahli biasa sahaja dalam Pas," katanya.

Selain menjelaskan bahawa Zulhazmi adalah peguam Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) iaitu salah  sebuah NGO yang lantang mengkritik kepimpinan Pas di bawah Abdul Hadi, Satiful Bahri turut membidas Zulhazmi supaya tidak mencampuri urusan parti itu.

Satiful Bahri menegaskan, perwakilan dalam Muktamar Pas akan memainkan peranan untuk menentukan sama ada Abdul Hadi kekal atau sebaliknya.

“Kalau kepimpinan persatuan peringkat dunia iktiraf beliau (Abdul Hadi) dengan melantiknya sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, kenapa kita di Malaysia hendak tolak?

“Untuk jawatan Mursyidul Am Pas, kita sudah ada Timbalan Mursyidul Am iaitu Datuk Dr Harun Din,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas Pusat mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017 yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Zulhazmi Shariff yang juga calon Ketua Pemuda Pas pada Muktamar 2013 berkata, ini sebab Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Satiful Bahri yang juga Adun Paka menjelaskan bahawa suara yang lantang itu tidak lebih sebagai suara picisan dan karenah mereka tidak perlu dilayan.

Walaupun menyedari tindakan Pasma semakin lantang, apatah lagi membuat kenyataan terbuka melalui laman sosial dan media mengenai Pas, beliau tidak melihat ia sebagai ancaman.

“Dalam Pas, kita sudah lama menghadapi perkara seperti itu,” katanya.