>> 5 Terkini :

Thursday 30 October 2014

Apa kuasa MAJLIS SYURA ULAMAK PAS sebenarnya..?


Ada orang tanya aku berkaitan "nasihat" dan/atau "arahan" Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS supaya ahli-ahli PAS tidak mendekati PasMa dan/atau cenderung serta simpati kepada PasMa. Ada yang berkata MSU mempunyai kuasa untuk mengeluarkan "nasihat" dan/atau "arahan" tersebut berdasarkan peruntukkan Fasal 8(1)(b) Perlembagaan PAS.

Aku nak sebutkan begini. Sebelum ni aku dah tulis panjang berkaitan isu yang lebih kurang sama iaitu semasa MSU membuat keputusan mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor. Dah panjang lebar aku tulis dan masih ada dlm wall aku ni di bahagian NOTES. Boleh cari & baca, tapi mungkin malas & susah nak faham maka aku nak cerita sikit lagi khusus berkaitan isu tu.

Gini ceritanya :

Majlis Syura Ulamak (MSU) diwujudkan melalui Fasal 8 yang bertujuan dan berfungsi sebagai institusi pemandu dan badan penyemak kepada semua badan-badan lain di dalam PAS dalam menjalankan kuasa dan tugas mereka.

Fasal 8 Majlis Syura Ulamak

(1) “Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan "Majlis Syura 'Ulamak".

Berpandukan peruntukkan Fasal 8 (1) kewujudan MSU adalah untuk memandu dan mengawasi badan-badan yang diberi kuasa oleh Muktamar menjalankan kuasa mereka agar tidak terkeluar daripada hukum Kitabullah, Sunnah Rasul, Ijma’ Ulamak dan Qias dan tidak berlawanan dengan dasar PAS. Inilah fungsi UTAMA MSU.

Seterusnya Fasal 8 (1) memberikan MSU kuasa untuk :

(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam 8 Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

(c) Mendengar dan memutuskan semua rayuan semula tatatertib yang dikemukakan oleh ahli PAS mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini.

Fasal 8(1)(a) memberikan kuasa kepada MSU menghurai, menjelaskan dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan yang samar di dalam Perlembagaan dan seterusnya membuat ketetapan.

Apakah dasar PAS yang perlu dihurai, dijelaskan dan ditafsir oleh MSU? Fasal 3 Perlembagaan PAS memperuntukkan bahawa dasar PAS ialah ISLAM. Justeru MSU hanya berkuasa untuk menghuraikan, menjelaskan dan mentafsirkan ISLAM yang merupakan dasar PAS. Tiada orang lain atau badan lain yang diberikuasa menghurai, menjelaskan dan mentafsir ISLAM yang menjadi dasar PAS selain daripada MSU, kerana itulah setiap ahli MSU hendaklah merupakan seorang yang mengetahui masalah pokok (al-usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk sebarang masalah kepada Al-quran, as-sunnah, ijmak dan qias seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 8(3).

Fasal 8(1)(a) juga memberikuasa kepada MSU menghurai, menjelaskan dan mentafsirkan mana-mana peruntukkan yang samar di dalam Perlembagaan PAS dan membuat ketetapan mengenainya.

Fasal 8(1)(b) memberikuasa kepada MSU mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS. Ayat nyata di dalam peruntukkan Fasal 8(1)(b) ialah mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar itu dipatuhi dan dilaksanakan.

Apakah maksud “supaya dasar itu dipatuhi dan dilaksanakan”?

Jawapannya perlu dirujuk kembali Fasal 8(1)(a) iaitu apabila MSU menghuraikan, menjelaskan dan mentafsirkan dasar PAS dan kemudian membuat ketetapan, maka huraian, penjelasan dan pentafsiran itulah yang akan dikeluarkan perintah serta arahan agar ianya dipatuhi dan dilaksanakan oleh badan-badan lain. Maksudnya dasar (ISLAM) setelah dihuraikan, dijelaskan, dan ditafsirkan serta kemudiannya dibuat ketetapan, maka ketetapan daripada huraian, penjelasan dan pentafsiran itulah yang akan dikeluarkan arahan dan perintah supaya dipatuhi dan dilaksanakan oleh badan-badan lain. Contohnya adakah boleh bekerjasama dengan bukan Islam. Maka MSU akan menghuraikan, menjelaskan dan mentafsirkan dasar ISLAM bolehkah dilakukan. Apabila ISLAM membolehkan kerjasama dengan bukan Islam, maka MSU membuat ketetapan dan seterusnya mengeluarkan arahan dan perintah kepada badan-badang lain agar kerjasama itu dilakukan.

Arahan dan perintah yang dikeluarkan oleh MSU hanya berkaitan DASAR Islam yang ditafsir, dihurai dan dijelaskan oleh MSU. MSU tiada kuasa membuat arahan pentadbiran seperti yang MSU lakukan sekarang. MSU tiada kuasa pentadbiran. Kuasa pentadbiran atau kuasa eksekutif hanya ada pada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP).

PAS ditadbir oleh JKPP yang diketuai oleh Presiden. Tugas-tugas JKPP dengan jelas disebutkan di dalam Fasal 26 (1) hingga (9). Fasal 26 (1) memperuntukkan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukannya dan yang diputuskan oleh mana-mana badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan ini bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan-ketetapan mengenainya dan bertanggungjawab ke atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Maka jelas bahawa tugas mentadbir PAS ialah terletak hak kepada Presiden bersama Ahli-Ahli JKPP yang lain yang dipilih melalui Muktamar dan dilantik melalui Mesyuarat JKPP.

Fasal 26 (9) seterusnya dengan jelas memberikan bidang tugas JKPP dalam menggerakkan PAS. Fasal 26(9) (a) hingga (m).

PAS tidak boleh bergerak tanpa JKPP manakala MSU merupakan pemandu arah JKPP bergerak agar tidak terkeluar daripada dasar PAS iaitu ISLAM. Ini yang dimahukan oleh Perlembagaan PAS.

Inilah niat Perlembagaan apabila mewujudkan MSU, JKPP dan badan-badan lain di dalam PAS iaitu setiap badan mempunyai tugas dan fungsi masing-masing.

Dalam konteks kenyataan MSU tersebut, adalah sangat janggal apabila MSU telah mengambil kuasa JKPP dalam keadaan JKPP masih belum menjalankan kuasanya memutuskan sebarang ketetapan dan tindakan, MSU telah terlebih dahulu membuat keputusan dan ketetapan.

Dalam keadaan itu, adakah tindakan MSU dan kenyataan MSU itu mengikat badan-badan lain di dalam PAS dan adakah berperlembagaan?

Jawapannya perlu dirujuk kepada huraian awal tentang kuasa dan fungsi asal mengikut Perlembagaan. Berdasarkan peruntukkan Perlembagaan adalah jelas bahawa tindakan MSU telah ultra vires kerana telah mengambilkuasa badan lain yang tidak diperuntukkan kepada mereka. Kuasa mentadbir dan menggerakkan PAS untuk menjalankan usaha-usaha PAS di dalam Fasal 6 untuk mencapai tujuan PAS di Fasal 5 adalah bukan di dalam bidangkuasa MSU.

Dalam keadaan MSU telah melanggar bidangkuasa maka kenyataan MSU tersebut adalah tidak sah dan tidak mengikat badan-badan lain. Malah jika dibaca dengan teliti kenyataan MSU tersebut, tiada sebarang arahan atau perintah yang dikeluarkan kepada badan-badan lain. Kenyataan tersebut tidak lebih daripada sekadar pandangan MSU berkaitan isu tersebut.

Tetapi amat pelik apabila ada antara pimpinan tertinggi seperti Naib Presiden dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri memperakui kelampauan bidangkuasa MSU ini dan ada antaranya mengiktiraf tindakan salah oleh MSU tersebut. Ada Pesuruhjaya Negeri yang mengeluarkan kenyataan menyokong "nasihat" dan/atau "arahan" MSU sehingga turut sama melarang dan mengahalang ahli sertai program-program anjuran PasMa. Nampak gayanya mereka turut suka tugas mereka diambilalih oleh MSU. Mungkin seronok sebab mereka sudah tidak terbeban jalankan tugas kerana tugas mereka diambil oleh MSU. Mungkin juga ada antara ahli MSU yang sudah tidak berkuasa atau sudah tidak boleh berhujah di JKPP maka telah suka-suka dan senang lenang menggunakan kedudukan mereka di MSU mengeluarkan "nasihat' dan "arahan" songsang.

Tindakan mereka ini boleh kita gelarkan projek "LANGGAR JKPP MELALUI MSU".

Sekadar itu dulu.

ZULHAZMI SHARIFF
30/10/2014

No comments:

Popular Posts