>> 5 Terkini :

Saturday 13 June 2015

Tiba Masa PAS bercium mulut dengan UMNO pula..!!


KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya tahaluf siyasi atau kerjasama politik PAS dalam pakatan pembangkang digantikan dengan tahaluf silaturrahim atau kerjasama silaturrahim bersama UMNO ekoran kedua-dua parti itu diterajui umat Islam, demikian menurut seorang penganalisis politik.

Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berpendapat konsep silaturrahim wajib dijadikan keutamaan berbanding keharusan mengadakan kerjasama politik dengan umat bukan Islam.

"Konsep tahaluf silaturrahim wajar diterima PAS kerana ia amalan yang diajar dalam Islam sendiri. Sekiranya PAS benar-benar pejuang Islam dan dibarisi kepimpinan ulama, mereka perlu menimbangkan perkara ini dengan membatalkan kerjasama politik dalam pembangkang dan mengetengahkan konsep silaturahim sesama ummah.

"PAS terlebih dahulu perlu memperkukuhkan persaudaraan sesama ummah sebelum mencari alternatif lain sebagai jalan mendapat kekuasaan. Kerjasama antara PAS dan UMNO akan lebih memudahkan mereka untuk berada di Putrajaya berbanding bersama pakatan," katanya kepada Bernama.

Minggu lepas, Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Keputusan itu dibuat ekoran kenyataan beberapa pemimpin DAP yang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

Mengulas lanjut Md Shukri berkata PAS seharusnya tidak mementingkan politik parti semata-mata namun perlu memikirkan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi tujuan kepentingan Islam dan seluruh rakyat.

Beliau berkata tahaluf silaturrahim ini wajar dijadikan pedoman dalam berpolitik selain PAS yang dianggotai ulama seharusnya bersikap lebih terbuka dan mementingkan kesatuan ummah berbanding terus bermusuhan dengan UMNO.

"Ketika ini hanya faktor kongsi kuasa kerajaan Selangor sahaja yang menjadi'pengikat' bagi PAS dalam pakatan.

"Resolusi PAS memutuskan tiada lagi kerjasama antara PAS dengan DAP tetapi masih kekal dengan pakatan. Namun, apakah dalam konteks Selangor PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP sedangkan mereka berkongsi kuasa pentadbiran kerajaan di dalam majlis mesyuarat exco? ," soalnya.

Berpendapat bahawa PAS sedang melalui satu fasa dalam menentukan maruah dan hala tuju perjuangan mereka, Md Shukri berkata oleh yang demikian ulama yang menguasai pentadbiran parti perlu berperanan memulihkan kembali 'kemerdekaan' politik PAS serta membina kekuatan sokongan akar umbi parti itu.

Katanya, adalah sesuatu yang wajar dibimbangi sekiranya wujud kelompok dalam PAS yang mencipta alternatif lain terhadap parti itu sebagai contoh mewujudkan kemesraan politik bersama parti lain termasuklah DAP, yang sedia maklum tidak sealiran dengan PAS.

"PAS perlu sedar bahawa apa sahaja tindakan dan percakapan mereka boleh menjadi gosip politik. Lihat sahaja bila tersebarnya gambar Abdul Hadi bersama Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa taklimat gempa bumi Sabah yang menimbulkan tanda tanya politik.

"Umat Islam pastinya mengharapkan hubungan baik antara PAS dan UMNO di samping PAS juga akan menjadi parti kedua terbesar selepas UMNO jika mereka terbuka hati membina kerajaan perpaduan bersama. Negeri seperti Kelantan dan Terengganu juga akan dapat dibangunkan tanpa polemik politik pembangkang," katanya.

Menjawab persoalan adakah PAS begitu 'terluka' dengan UMNO apabila mereka sebelum ini keluar dari Barisan Nasional yang dibina bersama, Md Shukri sebaliknya mempersoalkan apakah PAS tidak 'terluka' dengan kerenah pakatan selama ini.

"Apakah layanan tidak mesra DAP kepada PAS dilihat munasabah apabila PAS terus taat setia dan sayang kepada pakatan? Orang PAS dan pemimpin lama PAS pastinya lebih faham dan tahu apa tindakan sepatutnya yang boleh mereka ambil," katanya.


Read more at: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiba-masa-pas-ganti-tahaluf-siyasi-dengan-tahaluf-silaturrahim-penganalisis-62297?cp

1 comment:

Anonymous said...

Jarum halus sudah mula masuk dalam daging ulamak pemimpin PAS gula-gula akan mula dihulurkan sedikit demi sedikit mungkin selepas ini madu dengan kambing golek akan dihidangkan untuk pengikut PAS yang wala dengan ularmak dan diikuti oleh para perwakilan yang menerima usul perpisahan dengan DAP akan menerima sedikit imbuhan ,begitulah dunia politik hanya dengan sedikit ganjaran duniawi segala-galanya boleh terjadi,tidak terkecuali juga pada PAS yang begitu mudah tertelan air liur UMNO dengan janji hudud mereka.

Popular Posts