Oleh Ahmad Sayuti Bashiron
SIKAP MENDUSTAKAN KEBENARAN
Ramadhan kareem buat sahabat...
Ramadhan bulan 'ibadah. Bulan rahmat, juga bulan jihad. Termasuk dlm
jihad yang besar untuk dilakukan adalah mentarbiyyah diri bercakap benar
dan 'adil dalam situasi kerosakan manusia sedang berleluasa. in shaa
Allah diteruskan.
Firman Allah dalam Al-Ghafir ayat 83;
فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَرِحُوا بِمَا عِندَهُم
مِّنَ الْعِلْمِ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
"Pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka
dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka
mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada
pada mereka (yang mengenai keduniaan semata-mata); dan dengan yang
demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu".
Ikhwah-ahawat;
Merujuk pada pelbagai responses dalam beberapa tulisan lepas, berkaitan
teguran pada PAS dalam isu kronologi perlanggaran janji, ayat di atas
memberikan peringatan pada kita semua tentang response yang diterima
oleh Nabi Muhammad SAW apabila kaumnya sendiri mempermainkan sahaja
keterangan yang dibawakan oleh Rasulullah SAW tersebut, dan Allah
menjanjikan amaran yang sangat pedih atas tindakan sedemikian.
Sahabat yang dirahmati,
Ada yang bertanya, mengapa saya tidak serang DAP/PKR?
Saya sebut, tulisan-tulisan saya tersebut sebenarnya untuk saya fahamkan
sahabat-sahabat saya sendiri, bahawa teguran dan muhasabah secara keras
(qaulan syadida) adalah perlu untuk menyentapkan ramai yang sedang
dalam kebingungan. Saya tidak minat untuk buat post-mortem bagi pihak
lain. Bahkan saya tak berminat pun untuk ambil contoh-contoh kesalahan
yang dilakukan oleh pihak lain. Sebab "concern" saya hanyalah pada
kesalahan yang dimulakan sendiri oleh kita, kumpulan Islam yang
sepatutnya menunjukkan qudwah, akhlaq dan disiplin janji yang jauh lebih
mulia berbanding kumpulan lain.
Dan keduanya saya sangat malu (dan marah) apabila ianya dilakukan atas
nama "Gerakan Islam" yang sepatutnya membawa rahmat dan penyelesaian
pada pelbagai permasalahan negara (al-Islamu huwal hal).
Ikhwah- akhawat;
Saya cuba berikan komen atas LIMA response utama yang diterima,
Antaranya;
[PERTAMA]
Ramai kata tulisan saya itu adalah FITNAH, "fiction" rekaan saya semata,
sebab mereka tidak pernah tahu pun mengenainya, bahkan tiada bukti yang
saya lampirkan. Katanya lagi, jika benar sudah pasti kalangan pimpinan
itu sendiri telah membetulkan kesalahan Presiden PAS tersebut.
Jawapanya saya; itulah ciri penta'asub PAS (indoctrinated) atau pemuja susuk tertentu dalam PAS.
Mereka dengan mudah menolak apa pun kesalahan oleh kumpulan sendiri, dan
cuba meletakkan kesalahan pada kumpulan lain semata. Itulah maksud
hadith berkaitan 'asobiyyah yang diharamkan tersebut;
أن تُعِينَ قَومَك على ظُلْمٍ.
Saya ulangi, tidakkah semua kronologi berikut adalah satu kesalahan dan
pengkhianatan jika dilakukan oleh sesiapa pun, walau oleh kumpulan
Islam?
(1) PAS sejak 2012 pernah menulis surat rasmi mendesak PKR tukarkan TSKI dari jawatan MB. Masih tak percaya?
(2) Hakikatnya, PAS dan DAP memang bersetuju secara rasmi untuk membantu
PRK Kajang dalam 2014, walau ada ahli PAS dari negeri tertentu yang
boikot. Tidak salahkah? Juga isu Zaharudin Muhammad menabalkan kawan
baiknya sebagai calon di Kota Damansara, adakah ia bukan satu kesalahan
PAS? Seorang yg "naive" politik macam Ibrahim Ani tetap mahu nafikan
walau sejelas itu pengkhianatannya?
(3) Selepas kegagalan Kajang Move, PKR maklumkan secara rasmi untuk
tukar TSKI, yang dipersetujui DAP. Tiba-tiba PAS buat u-turn dengan
membantahnya. Hinggakan Majlis Syura Ulamak (MSU) masuk campur tidak
membenarkan TSKI ditukar selagi tidak disabit oleh "mahkamah atau SPRM".
Lihat, ironi sungguh apabila PAS sudah tiba-tiba mempercayai sistem
mahkamah dan badan pencegah rasuah yg dibantah sejak sekian lama [6 Ogos
2014].
4) Kalangan pimpinan PR semua maklum, sikap Presiden PAS yang kerap
tidak hadir Mesyuarat Presiden PR. Tapi sudah kerap kali melanggar
keputusan yang sudah dipersetujui secara bersama dlm Mesyuarat Presiden
PR yang turut dihadiri oleh wakil PAS sendiri. Tidak salahkah tindakan
melanggar keputusan tersebut?
(5) PAS terkenal dengan sikap u-turn. Walau 2 nama calon MB dah
dipersetujui oleh Mesyuarat PAS, dan dibawa ke Mesyuarat PR yang memilih
hanya satu nama, tapi akhirnya PAS sendiri langgar keputusan tersebut
dengan menghantar nama lain tanpa kelulusan oleh mana-mana mesyuarat
pun. MSU pula berkata, kuasa Presiden PAS adalah "veto"? Soalan
lanjutnya, perlukah "veto" untuk khianati janji?
(6) PAS sendiri bersungguh menolak pencalonan Presiden PKR sebagai MB
Selangor, atas alasan beliau seorang wanita. Akhirnya bila didesak, PAS
kata dari segi hukum dibenarkan pula.
(7) PAS sendiri pernah mengecam Presiden PKR sebagai tidak layak menjadi
MB Selangor, kerana beliau gagal menjawab soalan Parlimen dan DUN.
Tidakkah ahli PKR akan duduk diam dengan kecaman sedemikian?
(8) Bahkan PAS sendiri terlibat mengajak Azmin khianati PKR dgn
menawarkannya jawatan MB yg akan disokong bersama oleh PAS dan dan
lain-lain, walau jelas itu melanggar semangat dan janji PR. Ramai yang
tidak percaya tindakan PAS itu, tetapi perkara pahit itulah diakui
sendiri oleh Presiden PAS dalam satu mesyuarat. Akhirnya tidak ada
seorang pun yang sanggup menyokong tindakan Presiden tersebut.
(9) Dan lagi sekali, PAS sanggup khianati perjanjian dengan mencalonkan
beberapa nama ADUN PAS sendiri sebagai calon MB. Walhal dalam semua
perjanjian lisan dan bertulis, PAS sudah bersetuju bahawa jawatan MB
tersebut hanya untuk PKR sahaja.
MAKA;
Adakah semua yang saya tulis itu hanyalah satu FITNAH, atau kebenaran yang pahit yang antum sendiri cuba nafikan?
Atau ia hanya menjadi FITNAH kerana dilihat melibatkan tindakan oleh
Presiden Parti Islam itu sahaja? Maka ia mestikah terus dirahsiakan dari
menjadi makluman umum?
Tidak malukah,
Dari paling kurang 9 perkara di atas, masih ada lagi yang mahu berkata
bahawa "PAS setia pada janji", tapi DAP/PKR lah yang mengkhianatinya?
Apa yang perlu kita fikirkan adalah, mungkinkah segala keputusan DAP
memutuskan hubungan dengan PAS di Sarawak dan Sabah, tindakan DAP
putuskan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi meneruskan
dengan PAS, etc itu adalah BALASAN pada sikap kita sendiri yang tidak
amanah memegang pada perjanjian yang kita sendiri meterainya.
Tepuk dada,
Tanyalah jiwa yang benar-benar beriman wahai sahabat...
[KEDUA]
Perkara kedua yang banyak diresponse adalah berkaitan isu "chai" dalam
pemilihan AJK Pusat. Ramai yang anggap, "dah kalah itu kalahlah", dan
chai itu tidak menjadi isupun. Maka jawapan saya, sedang dalam UMNO
sendiripun kaedah itu ditolak, amat memalukan jika ditangkap, kenapa
pula mahu dibawa ke dalam Parti Islam?
Pemilihan qiyadah adalah amanah, dan wajiblah berdasarkan merit dan
prestasi qawiyyun amin, bukan mengikut "arahan" Dewan Ulamak atau MSU
untuk tidak pemimpin itu dan ini yang ditonjolkan sebagai pengkhianat
Islam. Naiknya nama-nama seperti Ali Akhbar Gulasan, Mokhtar Senik,
Razman, Iskandar Samad, Zaharuddin Mohamad, Zuhdi, Sanusi Mohd Noor,
Norazli Musa, yang sememangnya tidak dikenali, atau hanya dikenali
dengan tindakan-tindakan negatif dan buruk dalam PAS, namun apabila nama
mereka dimasukkan ke dalam "chai bersama Dewan Ulamak", kesemua mereka
berbangga dengan kemenangan yang diterima, dan bahawa kononnya "Allah
telah betulkan semula landasan perjuangan ini".
[KETIGA]
Seterusnya, saya lihat, adalah masih gagal faham antara janji dan walak.
Bila ditanya mengapa nak kekalkan TSKI? Jawapan diberikan adalah kerana
MSU arahkan kekalkan TSKI. Mereka tidak faham, bahawa MSU itu "tidak
terlibat" pun dalam perjanjian bersama PKR/DAP. Tetapi disebabkan walak
yang membinasakan mereka, elemen utama iaitu "perjanjian" dalam PR
dengan mudah sahaja diketepikan dan diabaikan. Ini sangat serius.
[KEEMPAT]
Isu lain adalah, ramai yang melihat tahaaluf dengan bukan Islam itu
merugikan Islam, bukan membantu dakwah Islam. Mereka melihat Islam rugi
kerana tak mampu "melaksanakan Islam" disebabkan mahu menjaga perjanjian
dgn DAP/PKR.
Tetapi mereka gagal faham betapa banyak sekali manfaat dakwah lain yang
PAS terima, yang tidak pernah dirasai sejak 61 tahun lepas di medan
dakwah M'sia hasil dari tahaaluf tersebut...
( in shaa Allah, saya akan bincangkan tajuk "kerugian yang dirasai oleh sahabat" dalam peristiwa Hudhaibiyyah kelak )
[KELIMA - yang paling serious];
Dan response lain, tapi yang paling merisaukan saya adalah lahirnya para
agamawan yang "tidak kisah berbohong" atas nama agama demi menegakkan
sesuatu kebathilan yang sudah dilakukan.
Saya masih terkejut,
Kenyataan beberapa orang ustaz muda, termasuk Setiausaha Dewan Ulamak
Selangor Muhammad Najhan Shahir Halim (Abang kepada Ketua Pemuda
Selangor) tergamak membohongi para pimpinan PAS Selangor bahawa hukum
asal bertahaaluf dengan DAP/PKR adalah "HARAM" secara asasnya. Bahkan
beliau mengaitkan itu adalah pendirian Majlis Syura Ulamak (MSU) yang
sudah diputuskan hukum "haram" itu sejak 7 tahun lepas. Saya terkejut
dengan pendustaan sedemikian. Cukup parah sikap begitu untuk Islam.
Kononnya dikatakan adalah begini;
Demi membenarkan tindakan untuk serahkan keputusan untuk "putus hubungan
dgn DAP" pada kuasa MSU, dikatakan MSU sahaja yang layak menentukan
hukum jika mahu diteruskan dengan tahaaluf atau tidak. Dan MSU lah yang
paling layak untuk menggariskan syarat jika "pertukaran hukum dari haram
kepada harus" tersebut diperlukan semula. Bukan muktamar.
Bagi saya itulah satu pembohongan atas nama agama yang begitu dahsyat
dilakukan oleh ustaz muda tersebut, dengan menggariskan pelbagai ayat
sebagai sandaran.
Beliau lupa, dalam Ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sendiri pun telah
menyebut bahawa "saya tidak sangka mengapa pula usul putus hubungan
dengan DAP itu tak boleh dibahaskan oleh muktamar, mengapa pula kena
dibahaskan secara tertutup oleh MSU". Itulah keluhan oleh Ketua DUPP
sendiri, yang terpaksa akur dengan arahan Presiden PAS tersebut.
Isunya di sini adalah jelas, walau semua memahami bahawa hukum tahaaluf
tersebut adalah HARUS di atas konsep mu'amalah yang harus secara
prinsipnya selagi tiada sesuatu hukum yang qat'ie yang mengharamkan.
Bahkan hampir kesemua ulamak kontemporari menyatakan sedemikian, dan
menjawab pandangan sebahagian ulamak silam, (terutama di Afrika dan
Saudi) yang pernah mengharamkannya berdasarkan pengharaman hubungan
aqidah di dalam peperangan.
Tetapi jelas beberapa Ustaz tersebut menyatakannya haram, hanya kerana
mahu menutup kesilapan yang telah berlaku dalam muktamar tersebut.
Dalam isu yang sama,
Allah mahu tunjukkan;
Apabila isu telah menjadi serius, dan MSU didesak menetapkan hukuman
untuk terus atau putuskan hubungan dengan DAP, Mursyidul 'Am PAS
terpaksa akhirnya mengakui bahawa beliau tidak layak memutuskannya
kerana beliau dan sebahagian besar keanggotaan MSU pada masa ini masih
belum pun dilantik semula sejak tamat pada Mac 2015 lepas! Sekarang
seolahnya semua mahu berlepas tangan atas kerakusan "usul tergopoh"
Dewan Ulamak.
Saya sisipkan kenyataan rasmi MSU dalam isu tahaaluf yang boleh di
kertas kerja tahaaluf siyasi yang disediakan beberapa tahun lepas;
"PAS telah mengambil dan memilih pendapat yang mengharuskan Tahaluf
Siyasi berdasarkan realiti dan waqi’ di Malaysia. Sememangnya tiada
khilaf di kalangan yang mengharuskan Tahaluf Siyasi, bahawa keharusan
itu bukanlah satu keharusan yang mutlak, tetapi ia adalah keharusan yang
mempunyai batas-batasnya yang tertentu"
Rujuk Garis Panduan MSU;
https://www.facebook.com/notes/ahmad-sayuti-bashiron/tahaluf-siyasi-garis-panduan-dari-perspektif-islam-majlis-syura-ulamak/10150430494244876
Akhir sekali;
Dalam response ini yang memberi pelbagai jawapan pada persoalan pembaca,
saya berharap kaedah "jawapan tegas" ini mampu memberikan kesedaran
pada semua, bahawa sudah terlalu banyak kaffarah Allah turunkan pada PAS
apabila kepimpinan dan ahlinya telah tidak lagi berakhlaq dan berqudwah
dengan cara yang diajarkan oleh Islam.
Dan natijah dari segala sikap itu, saya tidak terkejut langsung,
kelmarin 16 Jun 2015, apabila diisytiharkan "Pakatan Rakyat" itu telah
terbubar, lantaran sebahagian besar adalah tindak rakus dan tidak
amanahnya PAS itu sendiri, yang menggunakan pendekatan "siku dan lutut"
melebihi anugerah aqal dan hikmah.