>> 5 Terkini :

Saturday 30 August 2014

Adakah KIT SIANG penyelamat PR dari roboh..??


SURAT TERBUKA UNTUK LIM KIT SIANG
Zulkifli Sulong

Zulkifli adalah bekas Ketua Pengarang Harakah, Harakahdaily dan Siasah. Selepas 26 tahun bersama kumpulan Harakah, beliau kini bersama pasukan The Malaysian Insider sebagai Pengarang Analisis dan Rencana.

Saudara Lim Kit Siang yang dihormati. Pertama saya memohon maaf kerana tidak tahu apakah yang patut saya panggil saudara. Kalau mengikut budaya dan adab Melayu, saya sepatutnya memanggil saudara ayahanda atau sekurang-kurangnya pakcik kerana umur sudah hampir sama dengan arwah bapa saya.

Tetapi menghormati panggilan yang digemari dalam parti saudara, DAP, saya membahasakan diri tuan saudara.

Saya mula bekerjasama rapat dengan parti saudara, iaitu DAP pada 2000 lagi. Ketika itu, akhbar tempat saya bekerja Harakah dihadkan pengeluarannya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada 2 kali seminggu ke 2 kali sebulan.

Sedangkan dalam masa yang sama DAP mempunyai empat permit iaitu Roket Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Melayu. Ini bermakna, Roket berhak diterbitkan 4 kali sebulan berbanding dengan Harakah hanya 2 kali sebulan.

Dalam pilihan raya umum pada 1999, DAP mendapat pukulan besar apabila ditolak pengundi ketika orang Melayu berpindah sepenuhnya kepada PAS ekoran tragedi mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim. PAS berjaya mendapat Kelantan dan Terengganu sedangkan saudara sendiri hilang kerusi Parlimen bersama mendiang Karpal Singh walaupun DAP dan PAS sama-sama dalam Barisan Alternatif atau BA.

Orang DAP datang berjumpa dengan kami di Harakah, berbincang bagaimana kita boleh bekerjasama untuk mengeluarkan media bersama kerana kami mempunyai waktu lapang yang banyak kerana Harakah, manakala DAP pula mempunyai permit yang tidak dimanafaatkan.

Hasil perbincangan, kita bersetuju untuk Harakah mengurus terbitkan Roket berbahasa Melayu dan Inggeris. Saya masih ingat lagi, Ronnie Liu dilantik sebagai ketua pengarangnya manakala Elizabeth Wong pengarang Bahasa Inggeris manakala Rahmat Haron pengarang Bahasa Melayu untuk Roket.

Ketika itu majikan saya Datuk Mustafa Ali berkata kepada saya:"Zul, jika awak berjaya mempertahankan kerjasama ini, PAS dan DAP tidak akan berpecah."

Betul sebagaimana dikatakan beliau. Belum sempat DAP pergi meninggalkan PAS dan BA, kerjasama antara Harakah dan Roket bertahan setahun lebih saja. Bukan kerana kami di pihak editorial bergaduh tetapi kerana pemasaran yang tidak berapa baik dan tidak menjadi projek yang menguntungkan sebagaimana Harakah.

Saya ingat lagi, semasa mesyuarat bersama terakhir PAS dan DAP di sebuah hotel, saya diberikan kebenaran membawa jurugambar Harakah mengambil gambar mesyuarat itu di mana saudara dan mendiang Karpal juga ada dalam mesyuarat itu. Mesyuarat itu kemudiannya menjadi mesyuarat terakhir apabila DAP mengumumkan meninggalkan BA menjelang pilihan raya negeri Sarawak 2003.

Ekoran itu, pada pilihan raya umum 2004, PAS kalah teruk. BN menang besar. PAS hilang Terengganu. Kerajaan Kelantan hanya bertahan dengan lebihan tiga kerusi dan selepas pilihan raya kecil bertahan dengan kelebihan satu kerusi saja hingga 2008.

Bagi mencari puncanya, PAS menubuhkan Jawatankuasa Postmortem dan selepas itu mengenal pasti 2 sebab utama - dokumen negara Islam yang tidak sempat diterangkan dan nama buruk Islam ekoran Islamofobia Barat akibat tragedi September Eleven di Amerika. Pilihan raya pertama Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad juga menjadi puncanya.

Saudara Lim,
PAS dan DAP tidak pernah bekerjasama secara rasmi selepas itu. Namun, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008, PAS, DAP dan PKR menang besar. Kita berjaya menguasai 6 negeri iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Bagi membentuk kerajaan di Selangor, PAS dan DAP di samping PKR dipaksa bekerjasama oleh rakyat. Lalu terbentuklah Pakatan Rakyat selepas itu. Bukan atas kehendak pemimpin ketiga-tiga parti tetapi dipaksa rakyat agar bekerjasama.

Rakyat sangat berpuas hati dengan kita. Hasilnya kita menang lebih besar di seluruh negara dalam PRU13. Kita berjaya mendapat undi popular lebih besar dari BN iaitu 53%. Namun dalam masa yang sama kita kalah dan hilang Kedah. Bukan kerana rakyat tolak Pakatan tetapi rakyat benci dan meluat kerana bergaduh sesama sendiri.

Saudara Lim,
Tragedi Kedah kini sedang melanda Selangor. PAS, PKR dan DAP bergaduh di depan rakyat Selangor. Isunya adalah kerana kita tidak berpuas hati dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana dia tidak merujuk kepada kita, parti yang meletakkan beliau di kerusi menteri besar itu, dalam segala tindak tanduknya. Dia ada pasukan sendiri dalam menguruskan Selangor. Dia membelakangkan pemimpin Pakatan dan paling tragiknya dia membelakangkan pemimpin partinya sendiri, PKR.

Setelah lebih setahun bersabar, akhirnya PKR mengambil keputusan menukar Khalid dengan mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebagaimana kita semua tahu, PAS mempunyai pandangan yang sedikit berbeza dengan PKR. Bagi PAS, Khalid sangat popular di kalangan rakyat, jadi tidak ada sebab untuk menukar beliau. PAS juga kurang bersetuju dengan Dr Wan Azizah kerana beberapa alasan yang rasanya pemimpin PAS yang lebih tahu bukannya saya. Dalam pada itu hubungan PAS dengan Istana Selangor juga memainkan peranan.

Namun selepas PKR memecat Khalid, tidak ada lagi sebab untuk PAS mempertahankan Khalid kerana PAS berjanji setia di depan rakyat dengan PKR dan bukan individu bernama Khalid Ibrahim. Atas dasar itu, PAS sudah sebulat suara bersetuju untuk tidak mempertahankan Khalid melalui mesyuaratnya pada 17 Ogos lalu. PAS mencadangkan 2 nama untuk dipilih menjadi menteri besar iaitu Dr Wan Azizah dan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Namun, mesyuarat PR pada sebelah petangnya memaksa PAS untuk memilih satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah. Setelah dibawa balik kepada mesyuarat PAS Pusat, keputusan dibuat menyerahkan sepenuhnya kepada Tuanku Sultan Selangor untuk membuat keputusan.

Bermulalah dilema PR yang sebenarnya.

Saudara Lim,
Sebagaimana yang saudara tahu, PAS ini parti Islam dan hampir 98% ahlinya adalah orang Melayu di kampung dan luar bandar. Penyokong utamanya terletak di negeri Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Sentimen orang Melayu ini adalah dengan raja mereka. Raja dianggap pelindung agama mereka iaitu Islam. Oleh itu mereka sangat menghormati raja-raja Melayu ini.

PAS diberitahu oleh rakan-rakannya yang rapat dengan istana Sultan mereka kurang berkenan dengan Dr Wan Azizah. Ia terbukti apabila nama Dr Wan Azizah dikemukakan beserta dengan akuan bersumpah 29 penyokongnya, Sultan menghantar surat balas meminta setiap parti dalam PR menghantar lebih 2 calon untuk dipilih sebagai MB.

Ketika itu cepat-cepat DAP dan PKR membuat kenyataan kekal dengan satu nama Dr Wan Azizah. Ia seolah-olah menolak mentah-mentah permintaan istana itu. Bahkan ada juga semacam sikap akan bertembung dengan istana jika istana tetap menolak Dr Wan Azizah.

Di sinilah PAS mengambil sikap berbeza. PAS tidak akan bertembung dengan istana. Ini saya terangkan di atas. Pengalaman Datuk Seri Idris Jusoh di Terengganu dan Datuk Seri Shahidan Kasim di Perlis menjadi sandaran PAS. Tambah-tambah lagi dalam keadaan kita bukannya kerajaan yang menguasai negara. Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak sedia bertembung apabila rela mengenepikan Idris dan Shahidan selepas ditolak istana.

Di sinilah sebenarnya saudara boleh memainkan peranan. Peranan yang perlu saudara mainkan adalah memikirkan maslahat yang lebih besar iaitu kepentingan kerajaan PR bukannya untuk memastikan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar.

Kita bermasalah sebelum ini adalah dengan Khalid. Pelbagai pertuduhan kita buat terhadap Khalid. Ok jelas, semua bersetuju Khalid must go (harus pergi). Tetapi adakah kita juga mesti bersetuju Dr Wan Azizah mesti jadi MB.

Saya secara peribadi tidak bermasalah dengan Dr Wan Azizah kerana bagi saya jika beliau menjadi MB, ia mungkin akan menjadi MB yang popular kerana dia tidak lagi menunjukkan kekuatan personaliti tersendiri sebagaimana Khalid. Beliau akan menjadi umpama Ronald Reagan, presiden Amerika. Penggal pertama beliau menang, namun beliau beroleh kemenangan yang lebih besar pada penggal kedua.

Kenapa? Kerana dia seorang pelakon yang baik. Dia berjaya bekerja berpasukan dan melaksanakan segala arahan penasihatnya dengan baik. Jadi, bagi saya Dr Wan Azizah akan menjadi MB yang popular jika dilantik.

Namun begitu saudara Lim, kita hanya sepakat untuk menamatkan khidmat Khalid tetapi tidak sepakat dengan Dr Wan Azizah. Pemimpin PAS kurang bersetuju dengan beliau berdasarkan apa yang saya katakan sebelum ini. Apa salahnya kita mencari kata sepakat. Kalau tidak sepakat dengan Dr Wan Azizah, kita cari calon lain yang membolehkan kita capai kata sepakat.

Di sinilah peranan saudara sangat diperlukan. Saudara perlu menjadi orang tengah dan faktor pendamai. Ketika PAS dan PKR tidak mencapai kata sepakat, saudara sebagai orang tua perlu memainkan peranan mendamaikan kedua-duanya bukan memihak kepada mana-mana pihak.

Tindakan DAP sejak kebelakangan ini saya lihat seolah-olah memaksa PAS pergi bekerjasama dengan Umno, sedangkan itu adalah mimpi ngeri untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini.

Bayangkan apabila PAS dan Umno bergabung. Malaysia akan diperintah 60% orang Melayu yang sangat kuat. Ketika itu orang Cina dan India akan menjadi pembangkang. Apa akan jadi kepada negara ini?

Umno pula sangat hendakkan PAS kerana dia lemah sekarang. Cuba masa dia kuat, dia tidak akan menendang PAS keluar semula sebagaimana berlaku sebelum ini.

Ingat tak lagi saudara bagaimana Malaysia diperintah ketika Umno mendapat sokongan kuat orang Melayu di zaman Dr Mahathir dulu. Ingat lagi bagaimana saudara dan pemimpin DAP dan PAS yang lain terpaksa meiengkok di Kem Kemunting Taiping melalui Operasi Lalang. Padahal apinya dihidupkan dan ditiup pemimpin Umno atau lebih tepat lagi Najib sendiri di Stadium TPCA.

Saya membuat penyataan ini bukan saja-saja saudara Lim. Cara PKR dan DAP bertindak dalam isu Selangor sekarang ini sememangnya memaksa dan menolak PAS ke dalam jurang yang dalam. Ketika mahu jatuh, PAS akan berpegang kepada apa saja yang boleh dipegangnya untuk menyelamatkan diri. Yang paling saya bimbangi adalah yang PAS terpegang itu adalah ranting zaitun yang dihulur Umno.

Lihat cara PKR mencuri dua Adunnya Saari Sungib dari Hulu Klang dan Hasnol Baharuddin dari Morib. Mana-mana parti pun akan marah apabila dibuat demikian. Mana-mana pemimpin pun akan emosional apabila ditikam dari belakang oleh rakannya sendiri. Kerana emosional dalam keadaan luka itulah berlakunya tindak balas daripada PAS dengan cuba mencuri Adun dari PKR pula.

Saudara Lim yang dihormati,
Ketika suasana gawat ini, peranan saudara untuk menjadi faktor penyatu sangat penting. Fikirlah kepentingan kerajaan negeri yang kita bina bersama ini. Fikirlah mandat rakyat yang diberikan kepada kita ini.

Mungkin sekarang PKR dan PAS sudah kurang rasional kerana mahu menjaga ego masing-masing. Tetapi tidak ada sebab saudara juga turut emosional dan bertindak mengikut perasaan. Mari kita jaga kepentingan yang lebih besar iaitu PR. Mari kita lihat matlamat yang lebih besar iaitu negara Malaysia yang kita cintai ini.

Mari kita jadikan Selangor jambatan untuk kita ke Putrajaya. Saudara boleh pujuk para pemimpin PR agar memahami matlamat kita ini. Saya yakin mereka akan mendengar pandangan saudara.

Kita ke Putrajaya bukan untuk kepentingan kita saja tetapi untuk kepentingan Malaysia, negara yang kita cintai ini. Kita perlu pertahankan format politik dua parti bukan atas dasar perkauman ini untuk membolehkan rakyat membuat pilihan yang bijak bukan berdasarkan sentimen perkauman.

Saya bimbang, jika kita gagal pertahankan apa yang ada dan gagal membuktikan kemampuan kita, peluang ini tidak akan datang lagi di masa depan.

Sebelum ini saya mengirimkan surat kepada Tok Guru Nik Aziz untuk memastikan PAS kekal dalam PR. Tetapi dengan keuzuran beliau, saya yakin beliau tidak boleh berbuat banyak. Namun beliaulah selama ini yang melakukan kerja mempertahankan PR itu.

Kali ini saya menulis surat panjang ini untuk saudara pula. Saya yakin saudara benar-benar mampu untuk melaksanakan kerja mulia untuk Malaysia ini. Bertindaklah saudara.

Jangan tolak PAS ke tepi juram yang dalam itu, saya bimbang PAS terpegang ranting zaitun dari Umno jika mereka dipaksa berbuat demikian. Ketika itu, jika ianya berlaku, sayalah antara orangnya yang akan mempersalahkan saudara kerana gagal memainkan peranan untuk menghalang perkara itu daripada berlaku.

Saudara juga kena ingat, inilah yang Umno sangat mahu sekarang, menghulurkan tangan kepada PAS ketika dia lemah dan seterusnya memecahkan PR. Dengan cara inilah Umno akan kekal di Putrajaya dan kita sentiasa berada di pinggiran sahaja.

Akhir kalam, terima kasih kerana saudara sudi membaca surat saya ini. Mungkin agak panjang dan agak emosional tetapi saya yakin saudara tidak rugi meluangkan masa untuk membacanya.

Sekian, terima kasih. – 29 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Popular Posts