>> 5 Terkini :

Thursday, 10 September 2015

Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga PAS Kelantan tidak mematuhi keputusan MSU



Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga bagi calon-calon PAS dalam pilihan raya umum yang lalu adalah suatu yang misteri.

Pimpinan pusat PAS berkali-kali menafikan wujudnya baiah tersebut sejak 2009 lagi.

Terbaru tiga hari yang lalu setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Datuk Nik Zawawi Salleh menegaskan bahawa mereka tidak pernah meluluskan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga itu.

Ini bererti PAS Kelantan tidak mematuhi keputusan MSU sekiranya benar baiah tersebut di kenakan ke atas wakil-wakil rakyat PAS di negeri tersebut.

Ini bermakna baiah sumpah baiah taklik talaq tiga tidak diperakui oleh ulama PAS sendiri.

Dan dengan sendirinya tindakan PAS Kelantan itu adalah bukti tidak walaknya mereka kepada kepimpinan ulama.

Maka tidaklah sepatutnya isu tersebut dibangkitkan oleh pimpinan PAS Kelantan khasnya apatah lagi pimpinan Pusat PAS amnya.

Kesungguhan sesetengah pemimpin PAS yang begitu ghairah mahu meruntuhkan rumahtangga di kalangan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang kini bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) menimbulkan kehairanan besar di kalangan masyarakat umum.

Seolah-olah mahu dipisahkan semua wakil-wakil rakyat ini dengan pasangan masing-masing tanpa sedikit pun ingin melihat hujah dan pandangan ahli fekah yangmemberi jalan keluar kepada persoalan hukum menghiasi dada-dada media.

Tidaklah dinafikan adanya pendapat ahli fekah yang menghukumkan jatuh talaq dengan sumpah taklik oleh suami terhadap isterinya, tetapi ia tidak ada kena mengena dengan sifat taklik dalam baiah politik seperti yang dilakukan oleh PAS.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang bersungguh-sungguh ini seakan-akan mahu membalas dendam dan ‘gembira’ melihat rumahtangga sahabat yang dahulunya berjuang dalam PAS, runtuh dan musnah.

Seakan-akan tiada ruang untuk hujah menyelamatkan rumahtangga ini dikedepankan.

Islam diwajahkan dengan pandangan yang cukup jelek seolah-olah politik kepartian Islam ini kerjanya mencerai-berai rumahtangga orang semata-mata dengan cuba menjadikan perjuangan politik Islam sebagai alasan untuk mewajarkannya.

Institusi keluarga

Institusi keluarga merupakan entiti penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan negara, bahkan terhormat dan mulia kedudukannya di sisi Islam.

Melindungi keluarga termasuk dalam kategori melindungi kehormatan dan zuriat keturunan yang merupakan salah satu daripada maqasid (tujuan-tujuan) syariah yang lima perkara.

Jelas bahawa keutuhan integriti keluarga merupakan sesuatu yang dilindungi dalam syariat Islam.

Walaupun perceraian antara suami isteri dibolehkan dalam Islam tapi itu adalah perkara yang hanya wajar dilakukan dalam suasana yang amat mendesak dan tidak ada jalan keluar yang lain untuk mengatasi masalah rumahtangga.

Bahkan dalam masalah perbuatan ilaa’ atau bersumpah tidak menyetubuhi isteri dalam tempoh lebih empat bulan pun jelas kesukaan Allah terhadap pernikahan berbanding penceraian.

Allah S.W.T berfirman (Al-Baqarah, 226-227):

“...kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Dan pada waktu mereka berniat memilih talak, maka Allah berfirman:

“Dan jika mereka berazam (untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Syeikh Muhammad Shalih Al-Utsaimin menyebut dalam Durus wa Fatawa Haramul Makki:

“Ini menunjukkan bahawa Allah tidak suka terhadap orang yang memilih jalan talak daripada kembali menyambung tali pernikahan.”

Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap orang yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus adalah mempermain-mainkan kitab Allah.

“An-Nasai meriwayatkan dari Mahmud bin Labid: Bahawa ada seorang memberitahu kepada Rasulullah bahawa ada orang yang menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. Baginda bangkit dengan berang seraya berkata: Apakah ada yang berani mempermain-mainkan kitab Allah sedangkan aku masih hidup di kalangan kamu? Kemudian seorang bangun dan berkata di hadapan Rasulullah: Biar aku bunuh dia wahai Rasulullah?”

Walaupun akhirnya sahabat itu tidak dibenarkan meneruskan hasratnya untuk membunuh pihak yang menjatuhkan talak, peristiwa ini menunjukkan bahawa soal hubungan suami isteri dan keluarga sesuatu yang tidak wajar dihubungkaitkan dengan sebarang kepentingan politik kepartian.

Ini demi menjaga keutuhan dan nama baik keluarga itu sendiri.

Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 89:

“Allah tidak menghukum kamu lantaran sumpah-sumpah yang kamu lafazkan secara tidak sengaja, tetapi Dia menghukum kamu lantaran sumpah yang kamu sengajakan.

Bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

"Sesiapa yang tidak berupaya untuk melunaskan denda tersebut, maka dia hendaklah berpuasa selama tiga hari. Ini sebagai denda penebus sumpah kamu apabila kamu terlanjur bersumpah. Oleh itu, berhati-hatilah apabila bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan titah perintah-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”

Umat Islam dituntut agar berhati-hati berkaitan dengan sumpah ini dan tidak bermudah-mudah mengheret institusi dan kehormatan keluarga dalam pertarungan politik kepartian.

Maksud firman-Nya: “Jagalah dan berhati-hatilah terhadap amalan sumpah di kalangan kamu.”

Dengan perkataan lain, jangan mempermudah dan memperbanyak sumpah dalam budaya hidup kamu.

Dalam sumpah laknat, rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya, sesuai dengan perutusan Islam itu sebagai Rahmat untuk seluruh alam.

Bermohon istighfarlah dengan Allah.

Sungguhpun mungkin si pelafaz sumpah telah memohon kecelakaan dan laknat terhadap dirinya, namun Allah bukan Tuhan yang suka-suka hendak menurunkan laknat kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Allah Maha Mengetahui bahawa sumpah itu bukanlah niat sebenar bagi calon itu melainkan hanyalah tatacara yang dipaksakan ke atasnya oleh partinya yang mahu memastikan calon itu patuh kepada parti berkenaan dan tidak melompat kepada parti lawan (Umno-BN).

Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang sama sekali tidak tunduk kepada kebencian dan kegeraman manusia pendendam yang mendoakan keburukan kepada orang yang hanya berbeza pendapat atau yang memasuki wadah politik Islam yang lain.

Apatah lagi si pelafaz sumpah berkenaan masih komited terhadap perjuangan Islam dengan wadah yang baru, bukanya melompat kepada parti lawan yang di maksudkan ketika melafazkan sumpah baiah dahulunya.

Realiti kerosakan masyarakat

Realitinya ketika ini, memang terdapat kerosakan masyarakat yang parah; rasuah dibudayakan demi memenangi tampuk kuasa dan pilihan raya.

Malah ada kerajaan yang sedia berkuasa di sesebuah negara lumrah membeli calon dan pemimpin dengan mengajukan rasuah bernilai jutaan ringgit.

Sehingga – dengan sebab itu – ada parti politik yang terlanjur melibatkan institusi keluarga untuk menjamin kesungguhan dan integriti calon mereka; agar tidak mudah dipujuk dan dibeli.

Mereka mengadakan semacam sumpah hingga mentaklikkan cerai isteri; baik satu atau tiga sekali gus dengan tindakan politik tertentu oleh penutur sumpah itu sendiri.

Amalan politik mempertaruhkan rumahtangga calon sememangnya tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Ia merupakan ciri warisan masyarakat jahiliah.

Kerana itu PAS sendiri melakukannya dalam keadaan misteri dan menyembunyikan amalan yang boleh mengaibkan imej parti.

--------------------------------------------------------------------------------

AHMAD AWANG penasihat umum AMANAH.

1 comment:

PAK JUNAIDI said...


SAYA SANGAT BERSYUKUR ATAS REJEKI YANG DIBERIKAN KEPADA SAYA DAN INI TIDAK PERNAH TERBAYANKAN OLEH SAYA KALAU SAYA BISA SEPERTI INI,INI SEMUA BERKAT BANTUAN MBAH RAWA GUMPALA YANG TELAH MEMBANTU SAYA MELALUI NOMOR TOGEL DAN DANA GHAIB,KINI SAYA SUDAH BISA MELUNASI SEMUA HUTANG-HUTANG SAYA BAHKAN SAYA JUGA SUDAH BISA MEMBANGUN HOTEL BERBINTANG DI DAERAH SOLO DAN INI SEMUA ATAS BANTUAN MBAH RAWA GUMPALA,SAYA TIDAK AKAN PERNAH MELUPAKA JASA BELIAU DAN BAGI ANDA YANG INGIN DIBANTU OLEH RAWA GUMPALA MASALAH NOMOR ATAU DANA GHAIB SILAHKAN HUBUNGI SAJA BELIAU DI 085 316 106 111 SEKALI LAGI TERIMAKASIH YAA MBAH DAN PERLU ANDA KETAHUI KALAU MBAH RAWA GUMPALA HANYA MEMBANTU ORANG YANG BENAR-BANAR SERIUS,SAYA ATAS NAMA PAK JUNAIDI DARI SOLO DAN INI BENAR-BENAR KISAH NYATA DARI SAYA.BAGI YANG PUNYA RUM TERIMAKASIH ATAS TUMPANGANNYA.. BUKA DANA GHAIB MBAH RAWA GUNPALA

Popular Posts