Mohd Amar
                                                             
KOTA BHARU - Nasihat dan kerjasama yang utuh daripada pemimpin yang ‘ditolak’ ketika Muktamar Pas baru-baru ini tetap diperlukan demi perjuangan parti selepas ini.


Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar berkata, kerjasama tersebut diperlukan bukan untuk keperluan individu, namun untuk kelangsungan parti itu sendiri.

“Kita mengharapkan kerjasama semua pihaklah termasuklah yang kalah baru ini. Yang kalah pun kena bagi kerjasamalah sebab ini adalah untuk parti, bukan untuk individu.

“Jangan mereka ini menjadi penghalang pula kepada usaha-usaha yang hendak kita buat, tidak eloklah kalau begitu,”katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan kuliah sesi kedua di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang didakwa menyatakan pembentukan parti baharu hanya akan diwujudkan sekiranya kepimpinan Pas yang dipilih pada Muktamar Pas kali-61 lalu tidak dapat berfungsi dengan baik.

Khalid yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, Pas perlu memainkan peranan antaranya menegakkan Islam,menyatupadukan kaum dan memenuhi keperluan rakyat jika tidak mahu adanya parti baharu ditubuhkan.

Menurutnya, peringatan tersebut dianggap sebagai satu cabaran positif ke arah menjadikan parti lebih mantap dan memastikan tanggungjawab kepada parti dan rakyat akan dilaksanakan sebaik mungkin selepas ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Kelantan turut memberitahu, kepimpinan tersebut masih terlalu baru untuk dinilai sebagaimana yang dibayangkan sesetengah pihak.

“Kita masih terlalu baharu mentah untuk dinilai sedangkan penilaian kepimpinan biasanya melibatkan tempoh 100 hari pertama.

“Saya harap semua pihak akan beri kerjasama yang utuh kepada kepimpinan baharu ini bagi memastikan Pas terus maju ke hadapan dan perjuangan kita terbela,” katanya.