SESUDAH SUBUH
Sejak
tidak menjadi Exco dan dilepaskan segala tugas dan tanggungjawab dalam
kerajaan negeri Kelantan, nampaknya Adun Salor, Husam Musa tidak sunyi
dan sepi daripada untuk terus berkhidmat dan berjuang kepada rakyat.
Ketiadaan jawatan itu bukan menjadi sebab untuk dia mendiamkan diri atau
membiarkan sesuatu penyelewengan terus bermaharajalela.
Sebagai seorang yang kreatif, Husam ada berbagai cara untuk memaknakan
dirinya sebagai wakil rakyat biasa dan orang yang pernah
diharap-harapkan untuk menjadi pemimpin nombor satu di Kelantan. Selepas
bertindak menjadi MB swasta yang banyak membantu dan menyediakan pelan
menyelamatkan (meringinkan) kepada mangsa banjir hampir setahun lalu,
kini Husam muncul pula dengan kerjaya baru sebagai "penulis petisyen
rakyat".
Sehingga kini sudah beberapa pucuk surat ditulisnya
yang ditujukan kepada Menteri Besar, Ahmad Yaakub, dan terbaru kepada
Mohd Amar Nik Abdullah yang kini memangku jawatan MB selama Ahmad berada
di Makkah. Surat-surat yang ditulis oleh Husam itu membawa suara rakyat
kerana ia ada kepentingan dengan rakyat. Surat itu merupakan petisyen
rakyat kepada kerajaan.
Dan surat-surat Husam bukan surat layang atau poison letter
kerana beliau bertanggungjawab dan menyatakan dengan fakta yang lengkap
dan kemas terhadap apa yang diungkitkan. Dalam pada itu ada yang kurang
senang dengan kehadiran surat-surat Husam dan menganggap ia sebagai satu
pengkhiatan. Kenapa? Jawabanya mudah sahaja, sebab apa yang dibangkit
dan diangkatkan dalam surat itu boleh menjejaskan kepentingan dan
tembolok mereka.
Surat Husam bernilai dan diberi perhatian serta ditunggu-tunggu oleh
rakyat. Misalnya beliau pernah menulis sepucuk surat kepada MB
mempertikaikan satu permohonan kawasan balak di Ulu Sat seluas 3,500
ekar. Husam menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku dan meminta agar
MB tidak meluluskan lesen di kawasan berkenaan kepada pihak tertentu. MB
telah pun membuat arahan agar "sila uruskan" permohonan berkenaan.
Ertinya kalau tidak dibangkitkan oleh Husam kawasan itu sudah terlepas
tangan.
Bagi Husam ada tanggungjawab sosialnya kepada rakyat Kelantan menerusi
bantahan itu. Kawasan yang hendak diluluskan itu adalah kawasan tadahan
hujan dan menjadi jantung kepada negeri Kelantan. Hutan itu dipelihara
sejak berpuluh dekad lalu menjadi khazanah tidak ternilai kepada
Kelantan tiba-tiba hendak dipungar begitu sahaja. Di zaman Mohd Asri
Muda jadi MB, Sultan Kelantan pada masa itu ada memohon kawasan itu
tetapi ditolak.
Sudah tentu kalau bukan inisiatif dan kesedaran Husam menasihati Ahmad
Yaakub hutan berkenaan kini sudah menjadi pandang jarak padang terkukur.
Setiap surat Husam itu menjadi kontroversi. Ia dibangkang keras oleh
mereka berkepentingan. Ada tuduhan liar kononnya Husam sengaja
mendedahkan suratnya kerana ingin menyerahkan Kelantan kepada Umno.
Nauzubilahimazalik. Apa guna Husam membangun Kelantan lebih dua dekad
bersama Tokguru Nik Aziz kalau ke situ akhirnya?
Rakyat sangat senang dengan cara Husam. Apa yang Husam buat bukan untuk
kepentingan dirinya tetapi adalah untuk kepentingan rakyat. Begitu juga
dengan surat Husam kepada MB berhubung dengan konsensi balak yang
diberikan kepada Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) kemudian diserahkan
kepada syarikat lain, yang mana menurutnya menyebabkan kerajaan dan KPK
menanggung kerugian. Ada terma atau pun tawaran yang dibuat tidak masuk
akal dan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena berlaku.
Pembangkitan Husam terhadap konsensi KPK itu juga adalah untuk
menyelamat khazanah dan kekayaan negeri Kelantan. Beliau memberi
pandangan dan pendapatnya mengikut pengalaman dan maklumat yang beliau
perolehi, jauh sekali berniat busuk.
Jika diteliti dengan kepala yang dingin, surat-surat Husam itu tidak
sepatutnya dicemuh apa lagi menganggap tindakan Husam sebagai satu
pengkhianatan. Cuba teliti dan kaji dengan fikiran terbuka natijah
kepada surat-surat berkenaan tentu ia membawa kebaikan bersama. Ahmad
Yaakub sendiri sepatutnya menilai dengan penuh tawaduk dan bersangka
baik terhadap apa yang didedahkan Husam. Jangan menganggap ia sebagai
racun dan ancaman tetapi terimalah sebagai penawar.
Ada orang mengatakan cara Husam itu tidak betul. Husam sepatutnya
menggunakan saluran dalaman kalau hendak mengkritik dan menegur
kerajaan, bukan mengecer ke luar. Iya, memang sepatutnya begitu. Tetapi
apakah Husam tidak berbuat seperti itu? Apakah jahil dan jahat sangat
Husam dalam sial ini. Dangkal sangatkah Husam dalam bersiasah?
Saya percaya bekas Exco kanan itu sudah melakukan dengan penuh berhemat
dan diplomasi dalam membuat teguran. Sebagai orang yang membina kerajaan
Kelantan bersama Allahyarham Tokguru Nik Aziz, tentu Husam rasa sayang
dan tanggungjawab kepada kerajaan masih ada. Rasa bersalah akan
melingkari dirinya kalau beliau tidak berbuat sesuatu. Bahkan tindakan
yang diambil itu adalah kerana menjaga amanat Tokguru kepadanya.
Kenapa Husam akhirnya membenarkan suratnya dibaca umum, mungkin kerana
surat atau petisyen yang dibuat dengan cara berhemat itu tidak dilayan.
Atau Husam sendiri memahami akan sikap dan perangai orang politik. Orang
politik memang tidak boleh ditegur secara senyap, ia tidak memberi
kesan dan bekas. Cara terbaik ialah menegur orang politik secara terbuka
baru mereka mula terasa.
Saya ada cukup pengalaman dalam soal ini. Tanpa apologetik, sejarah
hubungan dan persahabatan saya dengan Husam sendiri. Apabila beliau
membuat salah saya menegur dan memberi pandangan dengan baik, tetapi ia
tidak memberi kesan. Akhirnya jalan akhir saya ambil dengan menegurnya
secara terbuka. Walaupun berat itulah cara terbaik dan menyakitkan
beliau. Samalah dengan apa yang Husam lakukan sekarang.
Teguran terbuka mungkin memberi kesakitan kepadanya. Tetapi itulah
sebenarnya ubat paling mujarab bagi orang politik. Alasan saya kenapa
saya menegur beliau secara terbuka, sebab orang politik suka mengkritik
orang dari atas pentas ceramah. Nampaknya apa yang pernah saya pakai itu
dipraktis oleh Husam hari ini dengan menjadi penulis petisyen rakyat.
Surat Husam tidak akan terecer keluar kalau orang yang menerimanya
membuat jawaban segera dan tidak memperkasamkan apa yang disuarakan itu.
Kenapa tidak menjawab dengan fakta dan hujah yang mapan bagi
mengelakkan ia terecer ke luar? Kenapa disenyapsunyikan? Kenapa?
Bakpanyaaa?
Misalnya surat terbaru kepada Mohd Amar berhubung dengan kelulusan
semula hutan di hutan simpan Berangkat seluas 5,000 ekar. (Surat
berkenana disertakan). Mohd Amar perlu menjawab dan menjelaskan petisyen
Husam berkenaan satu persatu. Surat itu dihantar pada 21 September
tetapi sampai kini tidak dijawab. Kenapa? Bakpayaaa?
Apakah Mohd Amar tunggu sampai Ahmad Yaakub pulang dari mengerjakan Haji
baru hendak jawab? Kalau begitu apa guna dia dilantik atau diberi kuasa
menjadi pemangku MB kalau untuk menjawab surat itu pun tidak berani.
Tanpa menjawab surat Husam itu dan menjelaskan perkara dibangkitkan ia
tidak akan menyelamatkan Mohd Amar. Cara itu bukan praktikal dan ia
menyerlahkan akan kelemahan Mohd Amar sekaligus menurunkan nilainya
untuk jadi MB selepas pilihan raya akan datang. Natijah daripada itu
orang akan beranggapan apa yang dibangkitkan Husam itu sudah terjadi.
Lebih dahsyat apakah Mohd Amar ada saham disebalik kelulusannya?
Baik Mohd Amar atau Ahmad Yaakub hendaklah respons kepada surat-surat
Husam ataupun apa sahaja sunggutan dan petisyen daripada rakyat. Sebagai
pemimpin mereka harus berani untuk berhadapan dengan apa sahaja masalah
dan perkara. Saya percaya kalau mereka bersikap terbuka dan gentlemen,
setiap apa yang dibangkitkan tidak memberi kesan kepada mereka dan yang
penting rakyat akan berpuas hati. (Ahmad dan Mohd Amar jangan terus
gotel peler dalam hujan).
Husam sendiri akan berhenti menjadi penulis petisyen kalau setiap apa
yang dibangkitkan dijawab dengan memuaskan. Sebaliknya kalau setiap apa
yang dibangkit itu digantung tidak bertali saya yakin beliau akan terus
menulis dan bertindak menjadi penulis petisyen kepada rakyat Kelantan.
Bagi Husam dia telah menggadai kepentingan dirinya demi kepentingan
rakyat dan negeri Kelantan. Dia tidak sanggup bersubahat merintis jalan
ke neraka.
Perkara paling penting yang terkandung dalam surat Husam kepada Mohd
Amar itu ialah, berhubung kemungkinan Husam akan membuat injuksi
terhadap PMBK sekiranya kelulusan hutan simpan Berangkat 5,000 itu
diteruskan. Seboleh-bolehnya elakkan tindakan injuksi itu kerana jika ia
berlaku kejadian itu sangat menjejaskan kerajaan Kelantan, apa lagi
ianya dibuat oleh wakil rakyat Pas sendiri.
Sehubungan itu para wakil rakyat khasnya daripada Pas perlu berfikir dan
membuat penilaian yang adil terhadap apa dibangkitkan oleh Husam.
Mereka tidak patut mendiamkan diri dan takut untuk berkata kerana
bimbang akan hilang kepentingan diri. Kalau sikap demikian menjadi
amalan, berdosalah anda menjadi wakil rakyat - pemimpin, kerana
membiarkan kemungkaran berlaku di hadapan mata.
Berikut adalah surat Husam kepada Mohd Amar Nik Abdullah.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
YB Dato' Mohd Amar bin Abdullah,
Pemangku Menteri Besar Kelantan,
KOTA DARULNAIM
15503 KOTA BHARU, KELANTAN,
HUTAN SIMPAN BERANGKAT - SEKALI LAGI DI BAWAH HARGA PASARAN
Saya
pernah menulis surat rasmi (tertutup dan tidak disiarkan di mana-mana)
kepada YAB Menteri Besar setahun lebih yang lalu membantah tindakan
Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) meluluskan kawasan Hutan Simpan
Kekal ( HSK ) Berangkat untuk perladangan seluas 5 ribu ekar tanpa
tender dan di bawah harga pasaran kepada LPSB.
Alhamdulillah YAB MB segera bertindak membatalkan kelulusan itu.
Saya ingat ia berakhir di situ.
Maklumat terkini yang saya ada menunjukkan PMBK meluluskan semula kawasan itu kepada syarikat berkenaan sekali lagi, April lalu.
Harga yang ditawarkan adalah RM 3 ribu se ekar termasuk semua perbelanjaan seperti kos ukur sempadan, cukai tanah dan lain-lain.
Saya difahamkan, setelah ditolak kos cukai tanah dll, pendapatan bersih untuk PMBK hanya sebanyak RM 7 atau RM 8 juta sahaja.
Dengan ini, pendapatan bersih se ekar hanya sebanyak antara RM 1,400 hingga RM 1,600 se ekar.
Sedangkan nilai pasaran adalah tidak kurang dari RM 5,000 se ekar bersih.
Ini akan menjanakan pendapatan kepada PMBK sebanyak RM 25 juta bersih berbanding RM 8 juta!
Perbezaan antara RM 16 juta hingga RM 17 Juta !!!
Bahkan
jika dilakukan tender terbuka, saya yakin dengan kedudukan tanah
Berangkat yang amat baik, PMBK akan mendapat tawaran yang lebih tinggi.
Saya
hairan mengapa Jawatankuasa Penasihat PMBK di mana YB adalah salah
seorang anggotanya, nampak begitu terikat dengan syarikat berkenaan.
Saya difahamkan oleh syarikat-syarikat lain yang turut membuat tawaran bahawa tawaran mereka adalah lebih baik tetapi ditolak.
Suka
juga saya mengingatkan tujuan asal kawasan Berangkat diluluskan kepada
PMBK oleh YAB Tok Guru di masa itu adalah untuk dimajukan sendiri
khususnya melalui PMBK Sawit.
Saya berharap tujuan asal ini tidak dikorbankan dan pihak lain pula mengaut keuntungan darinya.
LPSB
nampaknya terus menjadi pilihan sungguh pun tujuan asalnya adalah lain
dan terdapat tawaran lebih baik oleh syarikat-syarikat lain.
Mengapa?
Saya pohon kelulusan berkenaan dibatalkan. Apa lagi surat pembebasan hutan difahamkan belum dikeluarkan oleh Jabatan Hutan.
Jika
kelulusan ini diteruskan, mungkin saya akan memfailkan perintah
injunksi di mahkamah ke atas PMBK dengan tujuan menjaga khazanah rakyat
negeri Kelantan.
Tujuan saya juga adalah untuk menghentikan
amalan meluluskan khazanah rakyat Negeri Kelantan di bawah nilai pasaran
yang menyebabkan kerugian pendapatan kepada negeri Kelantan.
Saya
suka mengingatkan YB Dato bahawa antara fungsi utama PMBK pada masa
lalu ialah menyelamatkan hartanah prima. Ia bukan pintu belakang untuk
mana-mana pihak melepaskan harta dan khazanah negeri ini sesuka hati.
Saya mohon respon segera YB.
Sekian terima kasih.
Husam Musa
Adun Salor
7 Zulhijjah 1436/21 September 2015
Nota:
Surat rasmi pertama saya mengenai isu ini telah saya sampaikan kepada YAB MB Kelantan kurang lebih dua tahun yang lalu.
Saya tidak menyiarkannya di mana-mana kerana YAB MB telah memberikan respon tiga hari selepas surat saya.
Surat
rasmi kedua ini saya sampaikan kepada YB Dato TMB pada 21hb September
kerana kelulusan yang dibatalkan dahulu diperbaharui.
Saya tidak menerima sebarang maklum balas sehingga ini.
Saya
memutuskan untuk dikongsi dengan rakyat Kelantan yang prihatin dan
sensitif terhadap kepentingan negeri Kelantan, moga ada kesannya.
Yb. Husam Musa
ADUN Salor,
Petang 3 Oktober 2015
[wm.kl.8:20 am 06/10/15]
No comments:
Post a Comment