>> 5 Terkini :

Wednesday, 21 January 2015

Adakah DAIM akan DIAM apabila diserang oleh juak-juak NAJIB?

RAKYAT MARHAEN: Serangan Kepada Daim Lebih Merugikan Najib


Media arus perdana dan pemimpin UMNO terlihat semakin rancak melancarkan serangan terhadap bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin berhubung kekayaannya yang dianggap luar biasa. Pemilik media sosial pro Najib pula menyambut serangan itu dengan tujuan menyebar-luasnya, manakala setengah yang lain menokok tambah dengan pelbagai rekaan fakta supaya lebih menarik untuk dibaca.

Jika sebelum ini serangan terhadap Daim hanyalah mainan parti-parti pembangkang, kini media di bawah kawalan Najib serta beberapa pemimpin UMNO turut tumpang semangkuk dengannya.

Tidak cukup dengan ruang masa di saluran arus perdana, blog dan media sosial melakukannya , sebuah video klip berkaitan seks yang turut dikaitkan dengan Daim juga tersebar meluas sekarang ini.

Seorang pemimpin Selangor iaitu Ketua UMNO Bahagian Subang, Zein Isma Ismail berkata, jika Daim boleh menyerang Najib, maka bekas Menteri Kewangan itu haruslah juga bersedia menghadapi serangan balas daripada penyokong Perdana Menteri pula.

Inilah politik, katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor.

Barangkali media arus perdana dan blogger berbayar juga mempunyai pemikiran yang sama iaitu jika Daim sudah menyerang, bersedialah pula untuk diserang.

Tentunya juga, niat dan firasat mereka ini, apabila serangan balas dilakukan secara meluas dan berterusan, ia akan menyebabkan Daim terdiam dan berhenti daripada menegur atau mengkritik Najib.

Soalnya, adakah Daim akan diam?

Sementara sudah memberi perakuan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung kekayaan yang dimilikinya, mereka yang menyerang Daim seharusnya sedar bahawa teguran Daim ialah untuk kebaikan UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Daim secara umumnya menegur kelemahan Najib dan kerajaan yang ada sekarang sehingga menyebabkan imejnya di mata rakyat makin merudum dan bukannya menegur perangai atau tindak-tanduk peribadi anak sulung Tun Razak itu.

Malangnya, pengagum dan pembodek Najib ini tidak sepatah pun menjawah teguran dan kritikan Daim itu, sebaliknya melancarkan serangan balas dengan menggunakan isu yang sudah dimainkan pembangkang serta yang bersifat peribadi terhadapnya.

Serangan itu tidak lain hanyalah bertujuan mendiamkan Daim sambil berharap dapat menggembirakan Najib yang berjiwa bangsawan dan bukannya untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Tetapi bolehkah sokongan bertambah dengan menyerang Daim dan setelah Najib digembirakan? Bolehkah juga kemenangan diraih di Selangor apabila pemimpin negeri itu turut sama menembak Daim?

Yang bakal berhadapan dengan rakyat ialah Najib. Daim mengkritik dan menegur hanya bertujuan membetulkannya. Namun dengan teguran tidak dipeduli dan kesilapan tidak diperbaiki, malah menyerang balas pula terhadap Daim, yang lebih rugi ialah Najib sendiri.

Daim tetap Daim sebagaimana kehidupannya sekarang. Mungkin pengampu dan pembodek Najib gembira jika berjaya membuatkan SPRM menyiasat dan menyelongkar pejabat bekas Menteri Kewangan itu tetapi yang perlu disedari ialah Daim sudah pun terlebih kaya ketika dijemput menyertai kabinet pada 1984 dahulu. Beliau bukannya tiba-tiba kaya setelah ada jawatan dalam kerajaan sepertimana kebanyakan pemimpin UMNO sekarang.

Disiasat atau tidak oleh SPRM, Daim tiada perhitungan lagi dengan rakyat kerana beliau hanyalah orang pencen saja. Yang bakal dihitung oleh rakyat ialah Najib. Berbanding dengan Najib yang sedang tinggal di rumah kaca, lebih ramai akan tampil membaling batu kepadanya akibat tindakan pengampu dan pembodek ini.

Dinding kaca dan rumah Najib lebih mungkin rosak teruk di sebalik percubaan menyerang Daim itu.

Pakatan Rakyat yang mempunyai peluang terbaik dalam pilihanraya akan datang berikutan kepimpinan Najib yang terlalu lemah sudah tentu lebih gembira kerana peluru yang ditembak kepada Daim sejak sekian lama bukan saja membuatkan Najib tercedera sama, tetapi turut menjadikan rumahnya tidak lagi sekukuh untuk dipertahankan.

Pakatan Rakyat menyerang Daim bukanlah sangat untuk menghantarnya ke penjara tetapi sebahagian daripada percubaan melemahkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Apabila pengampu dan pembodek Najib juga sudah berbuat perkara yang sama, yang berganda untungnya ialah PR.

Dalam masa yang sama, yang rugi berganda juga ialah Najib.

Popular Posts