Itulah antara tanggapan mudah bagi sesetengah orang PAS dan rakyat Malaysia berstatus Melayu-Islam khususnya apabila tiga ahli Parlimen merangkap AJK PAS Pusat menyuarakan pertikaian berhubung warta ke atas pertubuhan berfahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng.
Tulisan ini dikarang untuk mengajak ahli PAS dan rakyat Malaysia umumnya menerjah akal yang kadangkala masih tidak mahu berganjak dari kerangka pemikiran Malaysia di era 70 dan 80-an.
Sedangkan, hakikatnya rakyat kita sedang berhadapan dengan realiti politik yang lebih mencabar dibawah langit informasi yang jauh lebih luas terbuka berbanding dahulu.
Ini bukan kerja mudah. Jika tidak, masakan generasi baru dalam Umno sendiri pun sudah memperlihatkan usaha gigih untuk keluar dari kerangka pemikiran sempit parti mereka sendiri?
Lihat sahaja Datuk Saifuddin Abdullah yang menjadi salah seorang penggerak utama kepada Gerakan Anti Perkauman (GAP) - sebuah inisiatif Global Movement for Moderate Foundation.
Khairy Jamaludin pula dengan inisiatif Akademi Kapten Hussein (AKHI). Adakah ini kebetulan?
Pada pandangan saya, tidak. Ini adalah usaha teliti yang mereka ambil untuk memastikan interaksi mereka dengan iklim politik Malaysia yang lebih terbuka dan rasional kekal releven. Idea serta pendekatan baru mereka ternyata sangat kontra dari tradisi Umno.
Kita akan tertanya-tanya, sejak bila Umno antiperkauman? Dan sejak bila juga Umno gemar berwacana secara terbuka membincangkan isu yang agak sensitif?
Sebab itu tidak hairanlah apabila ramai rakan-rakan berseloroh, "Si Khairy dan Saifuddin ini tersalah parti agaknya..." apabila mereka sering dilihat membawa pendekatan dan idea lebih sederhana dan muda yang tidak senada dengan budaya Umno yang bersifat ultra Malay dan ultra Islam kononnya!
Bincang, bukan hukum
Dalam hal tiga ahli Parlimen PAS - Dr Mujahid Yusuf Rawa, Khalid Samad dan Hanipa Maidin - dan Sisters in Islam (SIS) ini, saya cuba meneliti kenyataan media yang dikeluarkan.
Dari kefahaman saya, ia bukanlah tentang persetujuan atau penolakan terhadap fatwa terhadap SIS. Ia lebih berkait rapat dengan soal pendekatan dan proses demokratik yang sewajarnya diambil sebelum satu-satu fatwa dikeluarkan.
Ia berbeza dengan usaha menutup pintu perbincangan dan interaksi sehingga menghukum dengan sewenangnya bahawa yang berbeza itu semestinya mengancam negara dan dunia.
Memetik kata bidalan dalam bahasa Inggeris: 'Not only must justice be done, it must also be seen to be done'.
Islam itu sendiri tidak cukup sekadar diyakini adil dan baik, tetapi mesti diusahakan oleh penganutnya agar turut dilihat adil dan baik kepada setiap manusia.
Apatah lagi dalam ruang demokrasi yang kian berkembang di Malaysia, sikap mengenakan hukuman tanpa disediakan ruang interaksi dua hala, pada saya, hanyalah akan membawa Malaysia selangkah kebelakang.
Orang yang rasional akan mula mempertikai, apa bezanya semua ini dengan isu tahanan tanpa bicara?
Antara prinsip & bijaksana PAS
Bagi PAS, ini bukan soal menggadaikan prinsip Islam yang dijunjung sejak sekian lama. Tetapi ini adalah soal kebijaksanaan PAS dalam arena politik baru tanah air.
Ini soal apakah PAS mampu menjadi tokoh utama dalam era kerjasama politik bersama parti yang datangnya dari pelbagai aliran.
Ini tentang kelicikan PAS memecahkan tabu politik perkauman sempit dan kebencian di kalangan rakyat yang disuburkan Umno selama ini. Akhirnya, rakyat hidup dengan penuh prejudis antara blok-blok agama, bahasa dan warna kulit.
Era ini menyaksikan kestabilan politik di sesetengah negara barat yang bukan dikuasai pejuang Islam, seperti kata-kata tokoh gerakan Islam Muhammad Abduh: "Aku melihat Islam tanpa muslim di barat dan muslim tanpa Islam di timur".
Era ini memperlihatkan rampasan kuasa oleh rejim ketenteraan tarhadap pemerintahan Muhammad Mursi di Mesir.
Era ini turut memperlihatkan AK Parti pimpinan Erdogan memimpin Turki setelah kegagalan Parti Saadat pimpinan gurunya Erbakan.
AK Parti terpaksa berinteraksi secara hikmah dan bijaksana dengan kepelbagaian latar sekular masyarakat mereka sendiri demi membawa Turki ke fasa politik yang baru.
Era ini juga memperlihatkan Jokowi yang diangkat rakyat menjadi presiden dengan memecahkan stigma politikus tradisionalis Indonesia yang disifatkan sebagai NATO - "No Action, Talk Only!
Kita di Malaysia pula bagaimana? Dalam isu SIS vs fatwa ini contohnya, PAS bagaimana?
Apakah kita akan terus berada pada takuk lama? Era kafir-mengkafir, hukum-menghukum semata-mata tanpa berinteraksi dengan kepelbagaian yang ada.
Sebagai sebuah parti politik, PAS perlu sedar akan beban dan tanggungjawab yang perlu digalas.
Segala kepelbagaian inilah yang perlu dihadapi dengan bijak jika ditakdirkan PAS dan Pakatan Rakyat memimpin Malaysia satu hari nanti. Apakah PAS pada saat itu akan menjadi 'taliban' Malaysia?
Inilah cabaran politik baru buat PAS. Walaupun saya secara peribadi melihat Malaysia masih belum lagi berada pada tahap yang cukup membanggakan tatkala bercakap perihal politik baru ini.
Namun pergerakan ke arah itu sudah mula terasa apatah lagi pasca pilihan raya umum ke-13.
Dan tidak dapat dinafikan lagi, kewujudan PAS, PKR, DAP dan kelompok masyarakat sivil yang maju dan progresif di tanah air inilah menjadi pemain utama ke arah membina Malaysia yang lebih adil dan demokratik untuk generasi masa depan.
Bijaksana politik demi p'raya
Dalam konteks politik pilihan raya, kita perlu membina jaringan dan meramaikan kawan untuk berhadapan musuh. Kuncinya buat masa ini mudah sahaja, musuh kita yang menyekat kemaraan politik baru ialah Umno/BN.
Sebab itu jugalah saya nyatakan seawal penulisan tadi, sesetengah pemimpin Umno juga terdesak untuk mencorakkan parti mereka agar kelihatan lebih terbuka, sederhana dan demokratik untuk terus kekal releven pada masa kini.
PAS tidak boleh apologetik sehingga keluarlah mantra seperti "bukan kemenangan pilihan raya yang kita cari".
PAS juga tidak boleh berpendirian bahawa usaha memenangi pilihan raya hanyalah membawa ahlinya kepada fikrah Islam tidak asli, kabur dan songsang.
Pada saya, hanya pejuang Islam yang malas sahaja tergamak mengambil langkah pintas dengan dakwa-dakwi sedemikian rupa. Seolah-olah Islam itu tidak punya jatidiri untuk berdepan dengan arus pesat perubahan zaman dan kemajuan manusia.
Perlu diingat, hudud di Kelantan itu dapat diusulkan sehingga ke tahap kini hasil dari mandat kuasa yang telah diberikan oleh rakyat kepada PAS.
Bahkan penentuan soal mengenai kejayaan pelaksanaan dasar Islam yang ingin diutarakan PAS juga perlu melalui ruang dan proses demokrasi.
Bukankah menerusi usrah, kita telah diajarkan Islam itu antara sifatnya ialah waqi'iyyah (sesuai di setiap keadaan dan zaman) serta thabat wa murunah (tegas pada prinsip dan anjal pada pembawaan dan pelaksanaan).
Nah, inilah realiti lapangan kita. Menyantuni ruang-ruang demokrasi dan mendokong politik baru yang lebih segar, sederhana dan berinteraksi dalam kepelbagaian dengan hikmah dan bijaksana.
Nukilan : SHEIKH OMAR ALI merupakan anggota Pemuda PAS Johor merangkap pembantu kepada ahli parlimen Kluang